Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelajar-pelajar saya yang berjaya menamatkan Program Asasi Undang-undang baru-baru ini, terutamanya yang mencapai HPNG 3.00 ke atas. Walau bagaimanapun ramai juga yang harus mengulang beberapa kursus seperti MTC087 dan MTC099. Ada juga yang gagal mendapatkan HPNG yang disyaratkan oleh fakulti. Tentulah ini mengecewakan. Saya menerima banyak panggilan berkaitan perkara ini. Apalah yang boleh saya katakan.
"Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya".
Kursus MTC087,
Introduction to law III mencatatkan kegagalan lebih kurang 25%, iaitu 30 orang pelajar. Perangkaan ini bukan sahaja di Kampus Kuantan malah yang lebih kurang sama dicatatkan di Kampus Sg Petani. Saya tidak boleh membuat ulasan untuk kampus lain tetapi bagi pelajar-pelajar saya, jelas keputusan ini tidak memberangsangkan. Kenapa anda gagal?
Haruskah saya bertanggungjawab atas peratusan yang agak tinggi ini? Mungkin saya tidak dapat memudahkan kandungan pembelajaran kepada pelajar. Ada pelajar yang terang-terangan menuduh saya tidak adil dalam memberi markah, saya kedekut, saya sombong dan banyak lagi. Saya akur. Saya harus muhasabah. Tetapi menurut rekod saya kebanyakan pelajar yang gagal, merupakan pelajar-pelajar yang kurang gigih. Kenapa saya kata begitu? Kerana pelajar-pelajar ini kebanyakannya memang gagal pada tiap-tiap semester, atau HPNG yang dicatatkan kurang dari 3.00 pada tiap-tiap semester dan keputusan bagi kursus-kursus lain juga tidaklah begitu baik. Saya sering mengatakan universiti bukan medan mengukur seseorang bijak atau tidak, kerana universiti memang arena untuk bijak pandai, tetapi universiti menguji ketekunan dan kegigihan seseorang. Jika anda tekun dan gigih pasti anda akan berjaya. Anda sendiri yang mencorakkan kehidupan. Setelah puas berusaha sandarkanlah harapan dengan doa kepadaNya. Tidak kurang juga yang sering mengatakan
"nasib saya kurang baik puan, topik yang saya spot tak keluar". Saya memang tidak mampu menerima alasan sebegitu. Kenapa? Sebab saya tidak pernah menggalakkan sesiapa pun untuk menjangka soalan apa yang akan disoal semasa peperiksaan.
Saya memang seorang yang tegas, tetapi saya tidak akan menganiaya sesiapa. Saya berpegang pada etika yang telah diterapkan kepada saya sejak saya memulakan karier ini 12 tahun yang lalu. Saya memberi markah mengikut apa yang anda berikan, markah yang seadil-adilnya. Bagi saya kejayaan hanya bagi orang yang sanggup berkorban. Saya pernah melalui zaman yang anda semua sedang lalui ini, dan atas dasar pengalaman itu, saya berani mengatakan orang yang gagal adalah orang yang kurang bersedia untuk mengorbankan keselesaannya. Semoga berjaya.